Tempat meluahkan perasaan, melukiskan apa yang tergambar di jiwa. Penulis adalah seorang amatur dalam penulisan dan berharap untuk memperkembangkan gaya penulisan yang lebih terkini dan berkesan di hati pembaca. Berikan komen yang jujur supaya penulis boleh memperbaiki kelemahan yang ada.

Laman Sari

Ramadhan Yang Mulia


Saban tahun pasti dinanti
Bulan mulia menjengah kembali
Seluruh umat tercari-cari
Ramadhan Al Mubarak bulan yang dicintai

Raikan malam dengan tarawih
Bersujud, bertahmid dan juga bertasbih
Niat di hati semurni kain putih
Memohon keampunan dari Yang Maha Mengasih

Syaitan diikat, nafsu dipelihara
Agar ibadah sentiasa terjaga
Jauhilah segala perbuatan sia-sia
Semoga Ramadhan ini paling bermakna..

Cinta ABC


Aku bukan tidak bisa memilihmu
Bukan jua tidak pernah ada secebis kasih
Cinta yang berlalu di depan mata
Dengan tiba - tiba lenyap begitu sahaja

Entahlah, adakah aku yang tersilap menilai
Fatamorgana cerita cinta kita
Gerhana mendatang tanpa diduga
Hanya ku mampu menangisi tanpa airmata

Indah khabar dari rupa
Jelmanya matahari bergantian mendung gulita
Kemana harus ku meneruskan langkahan
Lentera malam tiada lagi bernyala

Masihkah aku terus berharap lagi
Nestapa di jiwa merentap hati
Onak dan duri ku pijak tanpa sadar
Pedih terasa dan darahnya tiada berhenti

Quzayra, mengapakah aku yang selalu kecundang
Rasa ingin sahaja aku mati
Seperti katak dilanggar lori
Terkulai, berkecai tiada yang peduli

Untuk apa lagi aku berdiri di sini
Villa yang diangan tinggal sejarah
Walau kita pernah berjanji berikrar
Xpresi cinta tak semestinya bersatu
Yang sentiasa mekar adalah kenangan
Zayra, engkaulah yang ku cintai sampai bila - bila

Nukilan:: Gopal Manikam

Penantian II


Jenuh ku menanti kata putusmu
Umpama menunggu pelangi muncul saat matahari bersinar terang
Hati berbisik sendirian, penuh tanda tanya
Adakah sukar untukku menjadi milikmu
Namun ku percaya akan kuasa cinta
Apabila saat itu tiba, pastinya akan tiba jua

Jika kau masih memerlukan sedikit waktu
Itu tandanya kau masih memberikan harapan
Hanya kepercayaan aku serahkan padamu
Angin taufan tidak bisa menggoyahkan pengharapan ini
Demi sebuah cinta yang begitu kudambakan
Akan ku tetap terus berdoa dan bermimpi siang dan malam

Syahdu, rindu, mengulit perasaan
Hembusan bayu menyelubungi malam
Aku mengintai-intai cahaya menerusi jendela
Rembulan bersinar indah dan ceria
Istana yang ku impikan semakin menjadi nyata
Zaman yang gelap menjadi cerah
Aku bersujud syukur pada-Nya atas petunjuk dan anugerah yang tidak ternilai

::Nukilan:: Gopal Manikam
 

Mengintai Dari Tirai Kamar


 Terkatup sudah tirai jendela
Yang selalu mengintai-ngintai dari kejauhan
Memerhatikan dan mengharapkan
Agar suatu hari akan terjadi keajaiban
Seperti pungguk yang menunggu bulan di dalam kegelapan

Demi perasaan yang datang tanpa paksa
Ku sentiasa menantikan saat kau menerjah keluar dari rumah
Dan menunggumu tika kau melangkah pulang dari kerja
Terasa engkau juga sedang merasai apa yang sedang ku alami
Sesekali kau menoleh ke jendela, ku rasa kan sungguh bahagia

Tak pernah ku rasakan betapa perit menunggu
Resah, terasa kosong andai terlepas detik itu
Gelisah, menantikan kelibatmu meskipun tanpa bicara
Ku menjadi tak keruan, sampai bilakah harus begini
Ku tiada daya untuk bertemu dan bersua mata denganmu

Loceng pintu berbunyi, mengganggu lamunan
Ku berlari menuju ke pintu tanpa berfikir
Ayah sudah pulang , getusku
Pintu kayu ku kuak, mata ku terpandang sepasang mata yang selalu ku impikan
Dunia terasa siang yang tiada berkesudahan

Nukilan::Gopal Manikam

Surat Untuk Awak

 Dari jendela kamar hati sendiri
24 Mei 2011

Awak..
saya ada sedikit kata-kata untuk awak
Yang tersimpan belum dapat diluahkan
Rasanya kalau disimpan lama - lama akan jadi bom
Selepas diluahkan harap-harapnya menjadi permata
Saya tak pandai nak bermadah panjang-panjang
Bak kata orang putih, kita straight to the point
Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim
Saya mengaku telah tersuka dengan awak sejak pertama kali jumpa awak
Kalau masih ada ruang yang belum terisi di hati awak
Harap dapatlah saya isikan kekosongan tersebut
Walaupun badan saya sedikit besar, saya akan kecikkan supaya muat di hati awak
Tapi kalau ruang itu telah dipenuhi oleh orang lain
Saya akan karang kisah ini pada batu bersurat
Agar dapat dikenang sampai bila - bila


Insan yang menyayangimu dalam diam

Gopal Manikam

Diari Seorang Guru


Pabila ku tersedar dari lena
Minda ku terus menyusun kuliah untuk hari yang menjelma
Sambil menggosok baju, ku terbayang wajah pelajar yang ceria
Wajah insan yang menagih ilmu untuk dicurahkan di dada
Membakar semangat untuk berbakti demi anak bangsa tercinta

Berbekalkan sebuah fail dan pen penanda
Langkah kaki dihayun penuh rasa bangga
Menuju ke kelas bertingkapkan kaca
Nota-nota sudah kemas tersedia
Pintu dibuka, ucapanku Assalamualaikum Semua

Ku lihat wajah satu demi satu
Mulutku memulakan bicara ,sambil tangan ku membantu
Mencoretkan patah kata bertinta biru
Bertubi - tubi soalan diaju
Mengasah fikiran mencambahkan ilmu

Dalam tak sedar masa berlalu
Hari berganti hari, minggu berganti minggu
Tugasan, Kuiz dan pembentangan menunggu
Ku gagahkan menanda markah satu persatu
Baris demi baris ku baca tanpa jemu

Peperiksaan yang dinanti akhirnya tiba
Segala tip diberi agar pelajarku tidak tergendala
Pesanku, Usaha, Usaha dan terus berusaha!
Dalam senyumku, hati berdebar tiada terkira
Ku bermohon doa agar kamu semua akan berjaya

Aku bertepuk tangan tanda gembira
Dapat menyaksikan kejayaan anak didikku telah berjaya
Wajah ceria bertopi segi empat dan jubah penuh bergaya
Melangkah menerima segulung skrol daripada Yang Amat Mulia
Air mataku menitis tanpa dipinta

Itulah rutin ku bergelar pendidik ataupun guru
Cekal hati dalam  melayan karenah pelajarku
Ada yang nakal, terlebih mesra dan pemalu
Tapi ku akan pastikan menjadi orang berilmu
Tidak pernah ada rasa putus asa mendidikmu

Usaha dan pengorbanan guru tiada mengharap dibalas
Tidak terlintas menagih simpati atau belas
Hati ini mendidik pelajar dengan penuh ikhlas
Hanya mahu memastikan tiada pelajar yang terkandas
Seandainya kamu berjaya, Kami lah yang akan tersenyum puas

Sedikit pesanan wahai pelajar
Ilmu yang ada jangan dibiar
Gunakanlah ia agar dapat disebar
Kami guru hanyalah sebagai penyedar
Sentiasalah berusaha dengan tekun dan sabar

::Nukilan:: Gopal Manikam

Si Tudung Pinki

Sekadar gambar hiasan

Datangmu menerobosi hidupku tanpa  diduga
Saatku masih terbayang - bayang igauan cinta semalam
Dirimu bagaikan bidadari dari kayangan
Pantas mengubat luka yang mendalam
Saatku masih tercari-cari kekuatan
Dalam menuju persinggahan mendatang

Berjubah labuh bertudung pinki
Mencuit hatiku untuk mengenali
Ucapan salam terpacul sendiri
Bibirmu menjawab tiada berbunyi
Namun riak wajahmu dan matamu bagai mengerti isi hati
Dari itu ku cuba mendekati

Perkenalan itu menjalin kemesraan
Kali ini kubaluti cinta dengan kesucian
Kegagalan lepas ku jadikan sempadan
Agar ikatan ini terus berkekalan
Jua mendapat restu dari Pencipta Alam
Dikaulah yang ku cari sebagai peneman

::Nukilan:: Gopal Manikam

Selamat Hari Lahir DJ Gelap

Puisi ini ditulis sempena hari lahir DJ GELAP dari radio internet Funker FM.
Senja mula melabuhkan tirai
Esok beransur menjadi hari ini
Lihat bulan sudah menyinari
Awan turut berarak menjadi saksi
Matahari menunggu menerjah bumi
Angka 12 jam melepasi
Tarikh keramat sudah melewati

Ulang tahunku datang lagi
Laju sungguh masa berlari
Aku tanam doa dalam diri
Niat dan azam ku tanam lagi
Gagal atau berjaya aku masih tidak pasti

Tahun lalu ku lepasi dengan bergaya
Akan mendatang ku ingin lebih kuat bekerja
Hari ini Jumaat yang sempurna
Ulang tahun ke tiga puluh empat usia
Namun itu hanya pada angka

DJ Abam Gelap namaku diberi
Jenaka dan senda untuk menghibur hati
Gurau sendaku andai terlampau harap dimaafi
Empunya diri tidak pernah lari
Lantaran kita hanya manusia insani
Aku tetap teguh berdiri disini
Putarkan lagu untuk pendengar setia setiap hari


::Nukilan Pendengar Setia Radio FFM::Gopal Manikam

Terima Kasih Ibu


Ibu
Maafkan aku kerana sering terlupa untuk menelefon
Bukan aku tak mahu telefon rumah
Tapi bila teringat masa tu ibu dah tidur
Aku simpan hajatku keesokan harinya
Malangnya aku terlupa
Sehinggalah ibu telefon aku semula bertanya khabar
Terima kasih ibu

Ibu
Maafkan aku kerana jarang balik menjenguk
Bukan aku tak mahu balik selalu
Tapi kesibukan kerja yang datang
Dan kadang - kadang tiket bas dah habis
Tiket keretapi pun dah penuh
Nak naik kapalterbang rasa tak berbaloi
Sebab rumah kita jauh dari lapangan terbang
Tapi bila ibu ada datang ke rumah adik dan kakak di sini
Ibu tak lupa bertandang ke rumahku
Terima kasih ibu

Ibu
Maafkan aku kerana jarang kirimkan duit untuk ibu
Bukan tak ada niat untuk mengirimkan duit
Tapi tiap - tiap bulan aku bayar hutang macam-macam
Duit sewa, bil, tambah nilai, kad kredit
Bahagian untuk bagi kat ibu dah tak cukup
Tapi bila aku berhenti kerja dan belum dapat kerja baru
Ibu terus telefon dan beritahu
"Ibu dah masukkan duit untuk anak"
Terima kasih ibu

Ibu
Maafkan aku kerana selalu lupa menelefon
Maafkan aku kerana jarang balik rumah
Maafkan aku kerana jarang kirimkan duit
Apa jua alasan yang diberikan olehku
Sebenarnya tanda-tanda aku tak menghargai ibu rupanya
Aku tak mahu jadi anak derhaka

Ibu
Mulai saat ini aku akan sentiasa telefon ibu
Mulai saat ini aku akan selalu balik rumah
Mulai saat ini aku akan asingkan duit untuk ibu
Aku sayang sangat sama ibu
Doa restu ibulah yang paling penting dalam hidupku
Terima kasih ibu kerana begitu menyayangiku
Walaupun aku selalu melupakanmu

::Nukilan Istimewa Buat Ibuku Yang Bernama Junaidah ~ Oleh Gopal Manikam::

Penantian Ini Belum Berakhir


Penantian ini belum berakhir
Meskipun kau memberi kata putus
Untuk pergi jauh dariku
Tanpa jejak dan tanpa kesan
Aku tetap menjejakimu tanpa putus asa

Semalam kau serahkan segala pemberianku
Tapi hari ini dan hari - hari mendatang
Akan ku pastikan hadiah - hadiah ini
Tetap menjadi milikmu sampai bila - bila
Kerna ku yakin, cinta itu milik kita

Kau kata kau terpaksa tinggalkanku
Atas alasan keluarga tidak menyukaiku
Kerana ku bukan seorang doktor mahupun peguam
Hanya kerna aku pemujangga jalanan
Yang tidak punya bekalan untukmu

Berbekalkan bahasa yang indah dan gerak tari gitar ini
Aku ingin buktikan pada kehidupan
Meskipun ku tak beruniform hitam atau putih
Kasih yang asli takkan pernah luntur
Biar dilanda hujan dan kemarau
Kilaunya tetap kelihatan
Aku tetap menantimu hingga ke ahir hayatku

::Nukilan:: Gopal Manikam

Aku, kamu dan cinta


Kenapa aku cinta kamu?
Rasa cintaku mula bertunas di jiwa
Pabila ku lihat wajahmu yang mempersona
Pabila ku dengar hilai dan ketawa kecilmu yang manja
Pabila ku menyaksikan keletahmu yang mencuit hati ini
Ku jadi terawang - awang, terasa amat bahagia

Cinta ini datangnya tanpa paksa
Kau dan aku sama menyulam kasih yang sama
Ku curi hatimu, kau juga mencuri hatiku
Andai kau tiada, ku merinduimu
Andai kau tidur, ku bermimpikanmu

Aku, kamu dan cinta
Aku hadiahkan cinta ini untukmu
Aku harap kamu hargailah cinta ini
Cinta, janganlah pisahkan aku dan dia
Aku mahu cinta ini untuknya
Semalam,hari ini dan selamanya

::Nukilan:: Gopal Manikam

::GiveAway::Blog Award Dari Cik Yaya


CIK YAYA SELAKU TUAN EMPUNYA BLOG GADISBLOG, MOMOKSHY, DAN DJ ALEYA MENGADAKAN SATU ANUGERAH (AWARD) SEPERTI DALAM ENTRI BELIAU :

CARA - CARA UNTUK MENYERTAI ADALAH DENGAN MENJADI FOLLOWER SEMUA BLOG CIK YAYA YANG BERIKUT :
  1. PERSONAL BLOG CIK YAYA
  2. DARI KONTI DJ ALEYA
  3. TUTORIAL GADISBLOG
LANGKAH 1
SILA TEKAN BUTANG FOLLOW DIBAWAH UNTUK MENYERTAI GADISBLOG
LANGKAH 2
LETAKKAN BANNER GADISBLOG PADA BLOG ANDA.SILA COPY CODE HTML YANG DIBERIKAN (GUNAKAN CTRL+C) DAN LETAKKAN CODE TERSEBUT PADA BLOG ANDA.
BANNER GADISBLOG



LANGKAH 3 :
ANDA HARUS MEMBUAT SATU POST BERKENAAN GADISBLOG PADA BLOG ANDA ATAU COPY POST YANG TELAH DISEDIAKAN DISINI.
LANGKAH TERAKHIR :
ANDA HARUSLAH MENYERTAKAN URL POST ANDA ITU BERSAMA URL BLOG ANDA
SELAMAT MENCUBA !!

Segulung Ijazah

Hari ini hari bersejarah
Hari yang meraikan kejayaanku dan teman-teman
Setelah tiga tahun bermandikan nota
Setelah saban malam bersengkang mata
Segulung ijazah kini kugenggam

Teman, tahniah buat kita semua
Akhirnya perit jerih kita selama ini
Terbalas dengan airmata kegembiraan
Ku melangkah bangga melintasi pentas
Tanganku erat berjabat dengan Tuanku

Wahai teman yang pernah bersamaku
Teman belajar, teman makan
Teman bermain dan juga bersenda
Kalian adalah teman terbaik dalam hidupku
Teman yang mengubahku menjadi insan yang berguna

Wahai pensyarah dan mentorku
Jasa yang dicurah tiada terbalas
Pengorbanan yang ditabur sangat besar
Engkau tetap setia melayan kerenah dan perangaiku
Restuilah ilmu yang pernah diberikan

Kini ku mula rasa kehilangan
Tiada lagi orang yang memarahi andai ku terlewat tiba
Sunyi sepi tanpa gurau senda teman
Siapa lagi yang akan memaksaku berdiri di pentas
Dan berucap di depan khalayak

Kini barulah aku sedar
Segulung ijazah ini sebenarnya bukan kerana peperiksaanku
Tetapi merangkumi kisah kehidupanku
Kisah indah bersama teman dan pensyarah
Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada ijazahku

::Nukilan::Gopal Manikam

Pergi ! Pergi! Pergi!


Pergi! Pergi! Pergi!
Pergilah kau dari hidupku
Aku tak mahu lagi menerimamu
Setelah apa yang telah kau lakukan
Hatiku telah menjadi kering
Sekeringnya dedaunan yang berguguran

Kenapa? Kenapa? Kenapa?
Kenapa aku yang menjadi mangsamu
Sedangkan aku sangat setia kepadamu
Tak terlintas untuk mencurangimu
Namun kau tak pernah menghargai kehadiranku
Aku umpama lembu yang kau boleh heret semahumu

Tidak! Tidak! Tidak!
Tidak sesekali untukku menerimamu lagi
Cinta yang dulu bersemi kini telah bersemadi
Hancur hati ini tiada terperi
Terima kasih kerana pernah mencintai
Tetapi kini tiada bernilai lagi

Benci! Benci! Benci!
Itu sahaja yang bermain difikiran
Kerana pengharapan yang telah dimusnahkan
Antara kita takkan ada lagi ikatan
Yang tinggal hanyalah kenangan
Kenangan yang menyakitkan

Aku akan pergi jauh
Jauh darimu yang pernah membahagiakan
Tapi kini amat melukakan
Andai sekalipun takdir akan kembali menemukan
Aku hanya mahu sampaikan pesanan
Cinta ini tiada kedua kali berbungaan

::Nukilan:: Gopal Manikam

Di Balik Tirai Besi


Di balik tirai besi itu
Tersimpan sejuta kesilapan dan kebodohan
Insan yang bergelar manusia
Kerana kerakusan, nafsu dan dendam
Kerana khianat dan kebencian yang membuak - buak

Di balik tirai besi itu
Cota dan rotan menjadi peneman
Sepak terajang jadi hidangan
Luka dan parut sudah menjadi kebiasaan
Kerna satu kesalahan menderita kepedihan

Di balik tirai besi itu
Mengajarku erti kehidupan
Menunjukkan sinar pengharapan
Menuntunku ke arah kebaikan
Membentukku menjadi insan beriman

::Nukilan:: Gopal Manikam

Hadiah Istimewa Untukku


Aku mati kata
Tiada bicara dan kata puitis
Yang mampu terluah
Fikiran sudah menjadi beku
Puas ku memikir dan berfikir
Tapi tetap akal tiada berfungsi

Aku jadi bingung sendirian
Apa yang aku buat semua tidak kena
Ku terduduk lama
Memandang sekeliling
Mendengar sang cangkerang malam bernyanyi
Hati masih dalam kegundahan

Pejam celik pejam semula mataku
Cuba ku bertahan dalam sebak
Masih terngiang di telingaku
Engkau mahu memberikan hadiah istimewa untukku
Ku buka kad ucapan itu
"Ku tunggu mu di pintu syurga"

Perlahan ku selimuti wajahmu
Innalillahi Wainna Ilaihirajiuunn

::Nukilan:: Gopal Manikam



Puisi Untuk Bubu


Bubu,
Walaupun kau tidak pandai bercakap
Hanya pandai menyebut sepatah kata
"Meow", berulang kali
ku tak pernah jemu mendengarnya

Bubu,
Sungguh setia kau menemaniku
Walau lewat pagi atau di petang hari
Tetap disisi tanpa jemu
Menghiburkan ku di kala sunyi

Bubu,
Kenakalanmu membuatkan ku melupakan kesedihan
Kadang - kadang kedegilanmu membuatku sedikit terganggu
Tapi senyumanmu, belaian manjamu
Amat bermakna dalam hidupku

Bubu,
Walaupun engkau hanya seekor kucing
Engkau seumpama sebutir permata
Bagiku, engkau adalah anugerah yang terindah
Terima kasih bubu..

::Nukilan:: Gopal Manikam

Kredit gambar untuk Tuan Bubu

Sendiri Lagi

 
Sendiri lagi
Tanpa kupinta ianya terjadi
Entah untuk keberapa kalinya
Aku tak mahu bertanya ke mana dia pergi
Ataupun mengejar langkahnya
walaupun aku masih mampu untuk mengejar

Sendiri lagi
Bukan ku tak cuba mempertahankannya
Segala ikhtiar telah diusahakan
Pujuk rayu, bunga dan juga kad cinta
Tapi belum mampu meredakan kemarahannya
Namun ku tahu dia bukan jodohku

Sendiri lagi
Tapi aku semakin kuat
Tidak perlu membazirkan airmata lagi
Aku semakin dewasa menghadapi dugaan-Mu
Kudus ku bermohon petunjuk dari-Mu
Jodoh pertemuan di tangan Yang Maha Esa

::Nukilan:: Gopal Manikam




Teman



Teman,
Kau sering menemaniku kala senang dan susah
Kau selalu memberi kata semangat
Kau tidak putus menceriakan hidupku
Kau tanpa jemu mengambil berat akan hidupku

Teman,
Kau tempat ku berkongsi masalah
Kau jadi peneman kala ku kesedihan
Kau yang pertama mengucapkan selamat harilahir
Kau juga memberi ku tempat berteduh kala hujan menimpa

Teman,
Walaupun ada rasa cinta yang cuba terbit dihati
Bukan ku tak ingin merasainya
Bukan ku takut untuk menjaga insan sebaikmu
Bukan ku tak sudi menerimamu sebagai insan istimewa

Teman,
Aku tidak mahu mengecewakan harapanmu
Aku tidak mampu menyediakan sebuah istana untukmu
Aku tidak layak menjadi putera hatimu
Kerna aku sendiri tidak mampu menjaga diri ini

Teman,
Aku harap persahabatan kita tidak ternoda
Dengan rasa cinta yang belum pasti
Aku selesa untuk terus teman berteman
Kerana sebagai teman, aku takkan menyakiti hatimu

Teman,
Cinta itu seumpama sebentuk kaca
Cinta hanya cantik diluarnya
Cinta hanya bersinar bila dibawah cahaya
Tapi jika terjatuh, pasti berkecai tidak mampu disambung lagi

::Nukilan:: Gopal Manikam

Detik Demi Detik

 
Detik demi detik yang berlalu
Rasa itu menghimpit memori di angin lalu
Degup jantung mengepam nadi kesedihan nan pilu
Langkah kaki semakin berat dibelenggu
Beban yang terpikul, semakin tiada tertanggung dibahu

Juraian air mata yang gugur bertaburan
Mengukir nisan cinta berbunga kelayuan
Tiada angin yang membisik kerinduan
Yang tinggal hanya serpihan kesedihan
Daun kekeringan menutupi sebuah perpisahan

Hari ini ku berharap awan kelabu segera pergi
Hiasilah hariku dengan sinar pelangi
Wahai matahari sentiasalah menemani
Jangan biarkan diriku suram lagi
Aku tidak bisa untuk terus menyendiri begini..

::Nukilan : Gopal Manikam

Si tua penunggu sungai

 
Di bawah rembulan yang samar
Seorang tua duduk sendirian di tebing sungai
Sabar dia menunggu kailnya dijamah ikan
Jari jemarinya tampak bergerak - gerak
Matanya melilau memerhatikan sekeliling
Mengharap ihsan agar kehadirannya tidak kehampaan

Sesekali orang tua itu mengeluarkan secebis surat
Dibukanya perlahan - lahan dan dibacanya berulang kali
Kemudian disimpan rapi di poket kanannya
Tampak wajahnya berubah keredupan
Di pandangnya bulan yang seolah-olah bergerak
Seperti cuba berlari dari pandangannya

Fikirannya bercelaru dan gelisah memikirkan
Petikan bait kata dalam warkah usang itu
"Andaikan aku menjadi sungai, engkaulah tebingnya"
"Dan andai aku menjadi ikan, engkaulah umpannya"
"Aku setia menemanimu sepanjang waktu"
Satu persatu manik berkaca menuruni pipinya

Sambil menyeka air mata itu
Orang tua itu mengeluarkan sekeping gambar
Dikucup dan dicium sepuas - puasnya
Sungai yang ditemani itu sebenarnya telah lama kontang
Dan tidak mungkin akan ada ikan untuk memakan umpannya lagi
 
::Nukilan:: Gopal Manikam

Kau Berlari,, Ku Mengejar


Di suatu petang itu
Tika pepohon kelapa yang melambai-lambai ditiup angin
Diselangi kicauan burung yang berterbangan
Menceritakan pada dunia kehebatan cinta kita
Saat dikau memanggil - manggil namaku
Sambil aku mengejarmu di pesisiran pantai

Deruan angin pantai membelai indah rambutmu
Aku terpesona memerhatikan sambil terus langkah mengejarmu
Walaupun ku hanya berpura - pura tidak mampu mengikut jejakmu
Kegembiraan yang terpancar di wajahmu
Itulah hadiah yang sangat ku dambakan darimu
Hatiku berharap kegembiraan ini terus bersinar untuk selamanya

Langkah yang dipandumu tidak selalunya gagah
Kaki yang tadi bijak mengatur helah, akhirnya tumbang
Dirimu meraung kesakitan mengharapkan bantuan
Aku menghampirimu dan cuba menghilangkan kesakitan itu
Namu ku tahu,
bukan pertolongan itu yang kau harapkan dariku
Engkau dan aku,
Masing - masing ingin sentisa di samping, sampai ke akhir nanti

::Nukilan:: Gopal Manikam

Anak dan Ibu



Seorang budak kecil berlari - lari
Mendapatkan ibu sambil berkata
Ibu, adik nak aiskrim , nak aiskrim
Ibu cuba tidak menghampakan anak itu
Lalu dipimpin anak, membelikan aiskrim
Anak itu tersenyum dan berlari keriangan

Budak itu ternampak ada mainan baru
Hatinya ingin sekali mendapatkannya
Si ibu hanya menggeleng, tidak boleh
Kita tidak mampu membelinya
Si anak mengguling - gulingkan badan
Tersirap rasa malu seorang ibu
Lalu dengan berat hatinya
Mengeluarkan sisa yang ada didompetnya
Nah, ini untukmu
Tersenyum seorang anak, sabar seorang ibu

Itulah umpamanya percintaan itu
Sama ada kita menjadi anak
Yang inginkan belaian dan layanan
Atau kita menjadi si ibu
Yang sentiasa bersusah payah
demi seorang anak

Nukilan :: Gopal Manikam

Pergilah Sayang.. Tinggallah Kenangan



Katakanlah ini hanya gurau
Katakanlah ini dusta semata
Tak pernah terlintas di hati
Tak pernah bermain di fikiran
Insan yang ditatang, dipuja
Insan yang berjaya mencuri hati ku ini
Telah diambil orang

Kasih yang disemai dan bercambah
cinta yang berputik dan berbunga
Rindu yang tumbuh menjalar dalam diriku
Satu persatu menyeksa gelodak perasaan
Hati ini yang dulunya sebesar lautan
Kini menjadi sekecil telapak tangan
Kisah indah yang pernah tercoret dalam diari hidupku
Seolah hanyut dalam lautan kesedihan yang membadai pantai

Jauh di sudut hati ini
Sungguh aku berharap ini hanya mimpi
Kerana aku masih terasa keasyikan cinta kita
Redup matamu meminta perpisahan ini
Berat ku merelakan, namun tak dapat ku menahan
Kerana syurgamu di bawah tapak kaki ibu
Air matamu yang menitis saat itu
Ku kutip satu demi satu
Untuk ku jadikan untaian cinta sejati
Sebagai hadiah pernikahanmu kelak

Andainya aku tidak dapat hadir
Saat kau berada di pelamin
Tidak bermakna aku tidak merestui perkahwinanmu
Aku tetap mendoakan dikau bahagia bersamanya
Kerana aku tahu kehadiranku nanti
Tidak dapat mengisi pelamin di sebelahmu
Dan aku, tidak pernah membencimu walau sesaat

Nukilan :: Gopal Manikam

G.E.L.A.P ku rasa


Gagal dan kecundang lagi cinta ini
Entah kenapa tak pernah berjaya
Letih ku rasakan tiada bermaya
Apakah ditakdirkan tiada cinta lagi
Perlukah aku terus mencarinya?

Gersang jiwaku kecamuk hatiku
Elakkanlah aku dari kegelisahan
Lelah, tangis, duka lara
Aku jadi semakin buntu
Pintu hati ini tertutup kembali

Gila sungguh percintaan ini
Embun kasih sepertinya sudah kekeringan
Lambaian daun semakin perlahan
Awan seperti berhenti berarak
Pawana menghembus memadamkan lilin hidupku

Gelap ku rasakan hidup tanpa cinta
Esok lusa yang bakal ku tempuhi
Lemah ku rasakan untuk meneruskan
Aku pohon kekuatan pada-Mu ya Allah
Perteguhkan iman menghadapi dugaan Mu ini

Nukilan :: Gopal Manikam

Empat, Tiga, Dua, Satu

Empat purnama cinta berlabuh
Di satu persinggahan indah bergemerlapan
Disinari neon merah penuh bernafsu
Dipagari godaan suara syaitan
Dipenuhi lumpur asmara kerakusan

Tiga hari tiga malam
Bertemu adam dan hawa
Bersatu di ruang terpencil tiada bernyawa
Mengatur langkah menodai kesucian
Menghancurkan satu kehormatan agung wanita

Dua jasad terkujur layu
Peluh mengalir membasahi tubuh
Ruang empat penjuru menjadi saksi
Keimanan yang dipupuk sekian lama
Hancur luluh dibawa angin

Satu perkara jangan dilupa
Tuhan itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui
Biar sejauh mana kita bersembunyi
Biar sekecil mana rahsia itu
Tetap dihitung dan dihukum amalan kita

Astaghfirullahal azimm..
Ampunilah dosa hambamu yang tak pernah lepas dari dosa

Nukilan :: Gopal Manikam

Kertaskah aku?



Diri ini bukan sekeping kertas
Untuk dicarik - carik semahunya
Yang bisa digumpal dan dibuang
Mahupun diconteng sesuka hati
Dan semudah itu dibuang sehina ini

Jiwa ini sekian lama kosong 
Cuba menghindari bahana cinta 
Kerana tidak mampu melupakan kepedihan
Disakiti dan dikhianati
Oleh insan yang pernah bergelar kekasih hati

Namun hadirmu bertamu di hatiku
Menyinari kegelapan yang sekian lama membelenggu
Bunga cinta yang dulu layu
Mekar kembali menghiasi kalbu
Pergilah sayu, datanglah rindu

Aku tidak bisa menolak cintamu
Kerna cintamu itu berbalut keikhlasan
Kerna cintamu semanis madu
Kerna cintamu selembut baldu
Dan kerna cintamu datangnya tanpa paksa

Nukilan :: Gopal Manikam

Persimpangan cinta


Aku seringkali terhimpit
Dalam membuat keputusan
Di persimpangan cinta
Antara si dia atau dirimu
Siapa selayaknya harus ku pilih

Dia umpama bulan
Lembut dan manjanya memukau hatiku
Santun kata meruntun jiwa
Senyumannya membuatku terpesona
Lirik matanya menggamit hatiku

Dirimu seindah pelangi
Selalu menenangkan hati di kala gundah
Sering menghilangkan resah gelisah
Mewarnai kelukaan menjadi kegembiraan
Sentiasa di sisi ketika ku memerlukan

Aku bersujud padaNya
Istikharahku mengharungi persimpangan ini
Pada Mu Tuhan aku pasrah
Rabbi yassir Wala Tu'Asir Ya Karim
Sesungguhnya kesulitan kuhadapi ini
Amatlah mudah bagi Mu


Nukilan::Gopal Manikam

Daun dan Sungai..


Aku menyusun langkah
Menyelusuri tebing sungai itu
Sambil tanganku memegang ranting
Ku kuis daun - daun kering yang berguguran
Hingga ianya jatuh ke dalam sungai

Aku duduk di tebing sungai itu
Memerhatikan gerak aliran daun itu
Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan
Tapi tetap maju dan terus maju
Kerna ditolak arus sungai yg lesu itu

Aku terus perhatikan lagi
Sesekali ada batu di tengah - tengahnya
Menghalangi laluan daun itu
Daun itu terhenti
Tidak mampu untuk melepasi batu itu

Aku menghela nafasku
Perjalanan daun itu sudah terhenti, fikirku
Aku mula berkira - kira
Untuk meninggalkan tebing sungai itu
Dan aku bingkas bangun

Tiba - tiba angin kencang menerjah tulang sumsum
Arus sungai sedikit berubah
Mataku kembali melihat daun tadi
Kelihatan sudah beranjak sedikit
Dan perlahan - lahan daun itu
Kembali meneruskan perjalanan

Aku melangkah pulang
Rentak daun tadi terus bermain di fikiranku
Mungkinkah daun itu akan terhenti lagi
Mungkinkah daun itu akan tenggelam dan karam
Atau mungkinkah daun itu meneruskan perjalanan
Melalui sebatang sungai
Yang berliku - liku, dan
Penyudah sungai itu
Belum pasti akan ditemui..

Nukilan :: Gopal Manikam




Monolog Cinta Siber

 
Hai siapa di sana?
Hai juga, di sini tentulah bukan di sana?
Ye, saya tau lah, tapi siapa namanya
Hee hee, saya segan nak bagitahu nama. Awak bagitaulah dlu

begitulah bermula sebuah perkenalan
setiap hari menunggu - nunggu
bilakah si dia akan bersama
menemani hati ini
Dikaulah tempat untuk ku berbicara,
Bersenda, bergurau seloka
Juga teman meluahkan rasa

Pernah juga ku bertanya
Bila kita boleh berjumpa?
Jawabnya "Saya masih belum bersedia"
Aku memujuk hati ini
Aku yakin suatu hari, akan tiba saat itu
Kerana aku semakin terpaut untuknya
Adakah ini cinta? atau teman tapi mesra

Dari layar YM ke SMS
Dari SMS hingga bergayut ke lewat pagi
Aku semakin rindu
dan aku semakin sayang padanya
Dan aku dapat rasakan dia begitu juga

Namun,
Aku masih dalam keraguan
Adakah cintanya sekadar di sini
Atau sudah tersemat di dalam lubuk hatinya
Aku keliru, tapi tetap berharap
Ya Tuhan, andai ini jodohku
Maka, satukanlah kami berdua

Amin..
 
::Nukilan Gopal Manikam::

Ruang itu..


Sekian lama ku telah terkurung
Di dalam sebuah ruang
Berdindingkan penjara cinta
Angkara perhubungan terlarang
Tiada ku sengaja mencintainya
Walau ku tahu dia sudah dimiliki
Aku tiada berdaya melepaskan


Sekian lama ku telah berteduh
Di dalam sebuah ruang
Berbumbungkan madah berhelah
Dihiasi kata - kata manis
Ungkapan dan lafaz diikrar
Rindu disulam, cinta bersemi
Dalam kesamaran, ku cuba bertahan

Sekian lama ku telah berpijak
Di dalam sebuah ruang
Berlantaikan janji palsu
Untuk terus bersama bersatu
Walau kerapuhan terasa
Walau sumbang langkah
Ku teruskan, tanpa berfikir dengan kewarasan

Puas aku terkurung dan terperuk
Ku keluar dari ruang itu
Terasa angin bertiupan
Kemudian ribut datang melanda 
Menerbangkan ruang yang sepi itu
Dalam sekelip mata, hilang dari pandangan
Aku menghela nafas, dan menghembus
Barulah ku tahu
sebenarnya ruang itu
Tidak kuperlukan lagi
Dan ku melangkah pergi sambil tersenyum

::Nukilan Gopal Manikam::

Persoalan cinta

 Apakah ertinya sepi bila keseorangan tetapi bermasam muka bila bersua?
Apakah ertinya rindu bila tiada di mata tetapi panggilan telefon tak pernah berjawab?
Apakah ertinya sayang bila perpisahan dipinta tetapi ketika bersama penuh curiga?
Apakah ertinya cinta bila melangkah seiringan tetapi di belakang saling mengaibkan ?
Apakah benar kita ingin memilikinya untuk menyayanginya sepenuh hati, atau sekadar tidak mahu malu bila berbicara tentang kekasih dengan teman?
Apakah perlu ada cinta? Apakah perlu ada sayang?
Satu jawapan untuk semua , Cintailah diri sendiri seadil - adilnya, sebelum ingin menghadiahkan cinta untuk orang lain.

::Nukilan istimewa dari Gopal Manikam::

Kenangan Musim Salju

 


Pabila musim salju mendatang
Seringkali Mengimbau kisah cintaku yang malang
Aku dinista dan dihina sungguh kepalang
Oleh keluargamu yang lebihkan harta dari kasih sayang

Seringkali hati ini menangisi
Memori indahnya percintaan ini
Kita saling menyulami hati
Mengharap mahligai ini terus bersemi

Ingin kupadam kenangan yang melukakan
Semakin ku hindari, semakin kuat bermain di ingatan
Apakah masih ada ruang dan peluang
Atau harusku melepaskan

Kini aku biarkan sahaja
Ku pasrah pada Tuhan untuk menentukan
Aku hanya mampu merancang
Pasti saja takdir Tuhan tiada siapa dapat melawan
Ku sujud padamu Tuhan, memohon petunjuk dan pedoman
Dan kurniakanlah aku sedikit kekuatan
Agar dapat ku bertahan dalam meneruskan
Sebuah perjalanan hidup yang masih panjang...

::Nukilan oleh Gopal Manikam::

Bicara Cinta Sang Pencinta


Bila mata bertentang mata,
Hati semakin gundah dan gelisah,
Jiwa meruntun mencari kekuatan,
Agar ku mampu melafazkan,
Yang terbuku tiada terluahkan.

Deru angin yg membawa harumanmu,
Menusuk kalbu mengocak naluri,
Agar ku pantas berterus terang,
Merungkaikan perasaan,
Melepaskan kerinduan,
Menjelmakan kemesraan

Semakin aku menunggu saatnya,
Semakin sesak ku rasakan,
Seandainya cinta tiada balasan,
Sanggupkah ku untuk menghadapi,
Siapakah aku dihatinya

Wahai burung tolong sampaikan,
Benih cinta dari seorang pencinta,
Istimewa buat ratu sanubari ,
Semoga ia bercambah dan subur,
Di sebuah ruang bernama hati.

Nukilan :: Gopal Manikam

Kasih Kita


kita sering membicarakan
bahawa antara kita sudah ditakdirkan
bersama bersatu kita berdua
tiada siapa mampu menghalang

kita sering mengungkapkan
kebahagiaan yang dikecapi ini
terus berkekalan hingga sisa terakhir hidup
terus mekar seharumnya kasturi

kita juga selalu melafazkan
untaian cinta bertatahkan kejujuran
demi menjaga kemaslahatan
dan kesucian kasih kita

hari ini sejarah dicipta
akad dilafaz ikatan disimpul
ciuman di dahi si wajah berseri
ku doakan kita terus tabah
dalam menyelusuri alam pernikahan
semoga berkekalan hingga ke syurga

Nukilan :: Gopal Manikam

Kisah Cinta Remaja


Dalam kelas intai dari kejauhan
Ingin mendekati terasa segan
Lalu ku tuliskan lokasi pertemuan
Nota diselit di buku matematik tambahan
"Selepas sekolah dekat taman"

Jarum menuju angka 1 terasa perlahan
Pergilah matahari teduhkan dengan awan
Agar perjumpaan tiada kepanasan
Untuk kisah perkenalan yang berkekalan

Masa di tunggu pun menjelang
Aku berbaju biru berjalur belang
Si dia yang dinanti akhirnya datang
Lega rasanya bukan kepalang

ku bacakan padanya sebuah
Wahai si manis indah rupawan
hasrat hati ingin mengatakan
sudikah dikau menjadi teman

Si dia tunduk tanpa bicara
Lalu mengambil batu mencoretkan kata
Wahai abang marilah bersama
Menyemai kasih, sehingga akhirnya

Oh terima kasih dinda
Semoga kita dapat bersama
Ikrar janji hidup seia
Janganlah ada benci dan dusta
Barulah kita bersatu selamanya

Nukilan :: Gopal Manikam

Bukan Maksudku..


Sewaktu aku melangkah kaki meninggalkanmu
Aku bukannya berniat membencimu
Aku juga bukan sengaja menyakitimu
Aku sekadar inginkan perhatianmu
Agar dikau kembali memujukku

Namun kau anggap aku bersungguh dengan kataku
"Siapalah perempuan yang telah merampasnya dariku"
Itulah mungkin difikiranmu
Akukah yang tersalah menilaimu
Atau engkau yang mengambil kesempatan di atas sikapku?
Aku keliru juga buntu..

Saat ini aku sangat merinduimu
Menunggu panggilan darimu
Mengharap maafku ini direstu
Menanti hadirmu saban waktu
Ketahuilah, aku mencintaimu tanpa jemu
Nukilan ::  Gopal Manikam

Detik dan Waktu Itu..


Jam 10.00 pagi
Aku terima SMS
"Sayang,hadiah itu tidaklah seberapa"
Semakin aku bingung, dan mengerling pada kotak itu
Cuba membayangkan mataku mampu menembusi dinding kotak itu
Tapi tiadalah aku berupaya

Jam 3.00 petang
Aku menerima panggilan telefon
Cuma dia melafazkan
"Sayang, berjanjilah untuk pertahankan cinta kita walau apa yang terjadi"
Panggilan dimatikan, aku kelu

Jam 9.00 malam
Aku membuka facebook
Ku terima mesej
"Sepertinya Adam dan Hawa, kita diciptakan saling melengkapi"
Aku membalas, "Dengan izin-Nya, jodoh pertemuan ajal maut di tangan Tuhan"
Aku terbaring
menanti jarum jam ke angka 11

Jam 11.00 malam
Telefonku mengejutkan dari lelapku,
Argh, sudah melewati jam 11.05 malam
Terus aku mencapai kotak itu
Dan membuka isi dengan berhati-hati
Terpana aku kerana di dalamnya
Ada senaskah surah Yaasin
dan sekeping nota
"andainya dinda pergi dulu, bacakanlah surah Yaasin ini"

Jam 11.10 malam
Aku mendail nombor telefon si dia
dan bertanya "Cinta di mana?"
"Dia baru menemui Yang Esa setengah jam yang lepas kerana sesak nafas"
Ku rasakan darah naik ke kepala
"Dari Dia engkau datang, dan kepada Dia engkau kembali"  


Nukilan :: Gopal Manikam.


Lara Yang Tak Terucap


 Mengapa harus terus begini
Kau yang dulu memujaku
Kau yang selalu merinduiku
Kau yang sentiasa menawan hatiku
Kini pergi tanpa bicara
Tiada khabar berita

Dimana tinggal janji-janjimu
Yang engkau pernah taburkan
Untuk bersamaku sehidup semati
Untuk membina mahligai indah
Kini terkubur layu
Diselaputi dedaunan kekeringan

Aku tiada berdaya untuk memaksa
sebentuk jiwa dalam tubuhku ini
Menahan kesedihan
Jua menyulam senyuman dalam lara

Oh Hujan,
Timpakan titis - titis yang indah
Agar dapat mencuci kedukaan
dan memendapkan sisa cinta ini
ke dasar lautan
Kerna di sana nanti
Lautan yang menyimpan seribu satu kisah cintaku
Akan tetap tenang membiru
Seolah - olah tiada tangis , tiada duka, tanpa bicara..

Nukilan : Gopal Manikam

Monolog Matahari, Bintang dan Bulan

 
Kata matahari, akulah yang menerangi kesiangan alam,
Kata bintang, akulah yang paling berkilau di kejauhan malam,
Kata bulan, aku menumpang sinarnya matahari menyuluhi kegelapan,
Kata bulan lagi, aku menyerupai sabit kerna terhalang oleh cakerawala,
Tambah bulan lagi, antara matahari, bintang dan bulan, akulah yang paling lemah,
Namun aku tahu satu perkara, yang tiada pada matahari dan bintang,
Aku amat tahu, sang pungguk sentiasa merindui hadirnya bulan di waktu malam

Nukilan :: Gopal Manikam
Next Post Home

Blog Archive

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...